~Kembara Seorang Hamba~

Ada Kata Tak Terucap Walau Dengan Bahasa Indah..... Ada Rasa Tak Terungkap Walau Dengan Seribu Madah.....



Salamun'ala manittaba'al huda




Tinggalan Kasih Hassan Al Banna Buat Ummat


Semalam saya sempat menghadiri kuliyah daripada ustaz Salahuddin, seorang yang tenang wajahnya, persis seorang ayah yang penyayang. Beliau membawa pendengar yang hadir untuk mengimbau kembali siri-siri khutbah warisan Hassan Al banna. Banyak yang disebut, antaranya segala apa yang kita kerjakan didunia ini ada balasannya di akhirat kelak.


Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan, dan tidaklah engkau dalam membaca sesuatu surah atau sesuatu ayat dari Al-Quran, dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu mengerjakannya. Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di muka bumi atau dilangit, dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis didalam Kitab yang terang nyata.



Baik perbuatan kita, maka baiklah ganjarannya. Seperti pengurus di tempat kerja, mana mungkin pekerja yang selalu berbuat onar akan dianugerahkan dengan bonus, malah boleh jadi pekerja yang berbuat salah ini bakal berdepan dengan dipecat daripada syarikat tersebut. 

Tetapi kenapa Allah masih belum "memecat" kita yang selalu berbuat dosa? kerana Dia, punya sifat yang penyayang, punya sifat yang pengasih, mahu dan sentiasa mahu memberi peluang kepada kita. Lantas, untuk saat ini, tadahlah tangan kita untuk seketika, pohon keampunan dan syukuri nikmat kerana bergelar HAMBA KEPADA ALLAH. Tuan yang nyawa kita berada di tangannya.



POLITIK

Saya bukan Mat Sabu yang bijak berpidato dalam arena politik, saya bukan ustaz Hasrizal untuk lembut berbicara soal dakwah, saya cuma pemerhati dari luar, apa yang sedang terencana diluar sana. Luar dari dunia saya sebagai seorang pekerja kecil dipejabat PTS. Saya juga sentiasa percaya, kita ini diciptakan untuk menjadi pemakmur dunia, dalam surah Hud Tuhan sudah berbicara; 


Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Salih. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan- bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya".




PEGANG TANGAN

Kotor sungguh orang yang mempolitikkan tindakan cikgu Mala untuk tidak bersalam dengan mereka yang bukan muhrimnya, serasa mahu menempeleng muka orang tersebut. Sudah terang lagi bersuluh, sengaja mahu mencipta kontorversi. Biar orang sibuk mengatakan itu bakal menimbulkan polemik kaum. Bangsa cina, india dan lain-lainnya akan takut dengan cikgu Mala yang ekstrim, bersalam pun harus memakai sarung tangan, tidak sama dengan tema mereka mahu merakyatkan perjuangan.


sungguh kurang ajar

 Pada saya tindakan cikgu Mala harus disokong seluruh perempuan di Malaysia ini, khususnya yang bergelar muslim. Dia ada pendirian dan prinsip yang tersendiri. Maka ini sudah menjelaskan sikapnya, berdepan dengan apa situasi sekalipun, prinsip islam tidak akan gugur. Maka inilah pemimpin sebenar yang kita dambakan. 

Kalau bola orang menantikan gawang golnya bolos, maka hari ini, saya merasakan cikgu Mala sudah mendapat golnya yang pertama. Penalti yang terhasil sepakan pihak lawan sendiri, tersalah merembat gawang sendiri. Hari ni, kemenangan dakwah buat cikgu Mala, kerana tindakannya itu, habis bergoyah satu Malaysia, cina, india dan lain-lain bangsa, semuanya mengetahui bahawa islam itu ada prinsipnya.

(saya menantikan kalau-kalau sewaktu Rosmah mahu bersalam dengan yang bukan mahramnya, mereka yang menyebut tentang prinsip islam dihadapan beliau) apa boleh buat, jika orang islam tidak mahu berbicara soal islam, apatahlagi mahu melaksanakannya, maka mari kita doakan, agar yang bukan muslim pula berdakwah kepada si muslim. 


"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui." (At-Taubah 9:41) 

Ayuh, kita lihat pula kemenangan politik buat cikgu Mala, jangan hilang keyakinan pada Allah, andai Nabi Zakariya yang sudah uzur itu boleh memacakkan keyakinannya pada Allah untuk memiliki zuriatnya sendiri, maka kenapa tidak kita menggantungkan keyakinan pada-Nya untuk memenangkan islam dengan berwasilahkan cikgu Mala. Tidak ada yang mustahil di dunia ini, andaikata cukup usaha, ditambah dengan tawakkal, insyaAllah, percayalah langkahan pejuang islam akan lebih meluas. TAKBIR!!



Salamun'ala manittaba'al huda

"Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhannya, dihantar masuk ke dalam syurga dengan berbondong-bondong, sehingga apabila mereka sampai kepadanya, dibukalah pintu-pintunya dan berkata malaikat-malaikat penjaganya kepada mereka : Selamat untukmu, berbahagialah, maka masuklah kamu kedalam syurga serta kekal (di dalamnya)." 
(Surah Az-Zumar: 73).




Itu petikan bicara Tuhan yang sempat saya belek pagi tadi. Entah kenapa saya merasakan, ayat itu sungguh menyentuh hati. Bilang mahu Syurga, tetapi kekadang, perbuatan sendiri sudah menjauhkan diri dari menghidu haruman syurga itu sendiri. Allah ampunkan kami.




HENINGNYA PAGI ITU


Alhamdulillah saat ini saya bersyukur kerana berpeluang memahami bahasa alQuran, bukan senang untuk difahami tetapi bila sudah memahaminya percayalah, keindahan itu tak akan anda perolehi melebihi daripadanya. Sungguh ia adalah sebaik-baik nikmat yang pernah Tuhan hadirkan dalam hidup saya.


Bangun.... Berdoa... dan rasai betapa hari yang Allah anugerahkan cukup tidak ternilai, saya pasti, seharian yang bakal anda lalui akan menjadi lebih terarah dan penuh dengan keseronokan.




CITA-CITA NAK JADI PETANI


Siapa yang mahu menjadi petani? saya kira, kalau dihitung-hitung daripada anak muda hari ni, ada tapi yang pastinya jumlah itu sangat kecil berbanding dengan minat kerja  dengan kerajaan dan swasta yang lebih indah pada pandangan mereka.


Salahkah menjadi petani? kotorkah mereka? 




Tidak, mereka tidak kotor, bahkan satu tepukan gemuruh harus diberi, tanpa mereka, tidak ada siapa yang mahu mensuburkan tanah ini. Maka siapa yang mahu bertanggungjawab?




PETANI YANG BAGAIMANA?


Petani tradisional kah? petani modenkah? atau yang bagaimana pilihan kita? Kalau saya dibenarkan memilih, saya nak jadi petani untuk ladang iman. Wah? Apakah itu?


Saya nak jadi petani yang biasa-biasa. Kerjanya biasa-biasa tetapi hasilnya cukup untuk mengenyangkan anak bini. Lantas saya percaya, seandainya generasi hari ini sudi menjadi petani-petani yang mahu menggembur ladang dunia dengan benih-benih akidah,siramkan dengan baja-baja taqwa, saya yakin, hasil yang akan dituai kelak, pasti lebih baik dari habuan yang ada sekarang.


Semaian itu jangan terlalu gopoh - gapah mahu dibesarkan, biar perlahan-lahan ia meresap ke dalam diri, kelak pohon yang tumbuh bakal membawa resmi padi, makin berisi, makin menunduk. 






ISTIQAMAH


Kitab mutiara riyadhussalihin menyebabkan saya gatal tangan untuk menyelak lembaran yang ada, membawa saya kepada huraian imam nawawi mengenai istiqamah.


Dituturkan dari Abu 'amr, ada yang mengatakan Abu Murah Sufyan bin 'Abdullah r.a berkata, "saya berkata kepada Rasulullah, ' Wahai Rasulullah, ajarkanlah kepadaku suatu ucapan yang mencakup tentang islam, yang tidak mampu aku tanyakan kepada selain engkau." maka jawab baginda,


"katakanlah, saya beriman kepada Allah, kemudian teguhlah engkau dalam pendirianmu."

Risau saya mahu bercakap soal istiqamah, bimbang nanti saya entah ke mana. Zaman ini, zaman Allah menguji secara cash, apa yang kita sebut, itulah yang selalunya akan mendatangi kita. Allah, kami berlindung denganmu dari segala ujian yang tak mampu kami hadapi.

Hnedak mendapat syurga Allah bukan senang, saya menulis di blog ini, untuk saya dedikasikan kepada hati saya sendiri, agar saya ingat dikemudian hari, yang ada satu masa satu ketika, saya pernah membicarakan soal ini. Soal dosa dan pahala, soal istiqamah dan tersungkur. Saya mahu pahatkan semua ini diatas nadi saya agar, setiap kali saya letih, saya mahu mengasingkan diri, saya akan membuka kembali segala nota-nota hati yang saya catatkan hari ini untuk mengecas semula keletihan itu.

Saya tidak tahu bagaimana masa akan datang, tapi saya mengimpikan saya dan kawan-kawan bergandingan bahu bekerja untuk islam. Aku sebagai pencinta buku, kau sebagai doktor, dia sebagai eksekutif bank, dan mereka sebagai guru semuanya sudi menyebarkan agenda islam. Tidak kira jauh mahupun dekat, kami sedar dan tahu, matlamat perjuangan kami hanya satu, "mentauhidkan Allah". 



IMPIAN KITA BERSAMA


Tak salahkan untuk kita berimpian? kerana dari impian kita akan mula melakar strategi, dari strategi kita tumpahkan tenaga ke arah menjayakan perancangan itu. Islam itu mudah, ia tidak menyuruh kita untuk menumpukan sepenuh masa, beribadah semata-mata, tetapi islam menyuruh kita meletakkan akhirat didepan mata, dan mengambil bahagian kita di dunia ini.

Sekiranya islam menjadi agenda, baik menang mahupun kalah, baik senang mahupun susah, dalam suka mahupun duka, saya pasti, tidak akan ada air mata yang tumpah menyesali langkahan mereka ke dalam medan perjuangan ini. Bahkan yang ada hanya lelehan air mata, tangisan kegembiraan kerana cahaya dan kelapangan hati yang Allah hadirkan.

Inilah perjuangan kita, perjuangan untuk membawa islam di mana-mana. islam sbegai way of life! Allahuakbar.. Allahuakbar... Allahuakbar!!

salamun'ala manittaba'alhuda..

Hari ini, sudah berlalu penamaan calon, masih menanti di sana, detik yang mendebarkan buat seluruh rakyat Malaysia (baca yang masih mahu dan sedar tentang situasi semasa). Saat ini, saya cukup mengagumi seorang perempuan yang bernama Normala Sudirman.


Sebelum ini, jarang kita terdedah dengan PRK yang melibatkan wanita, muslimah khususnya, kalaupun ada, situasi itu melibatkan PRU, dan jarang-jarang diberi fokus oleh Media.


Dalam Muktamar PAS yang lalu, Dr Lo'lo' telah mengusulkan agar calon wanita diketengahkan, dan PAS mengambil langkah berani dengan meletakkan calon wanita di Tenang.


Sebut nama Normala Sudirman, saya mengagak, ramai yang tidak kenal, melainkan Normala Samsudin ataupun Allahyarham Sudirman, ya yang itu kita kenal, namun beberapa minggu yang lepas, tiba-tiba sahaja nama Normala Sudirman mula berlegar dibibir-bibir penggiat politik tanah air. siapa dia?





Berumur 38tahun, beliau merupakan seorang guru lulusan Maktab Tuanku Bainun, Pulau Pinang sebelum meletakkan jawatan pada akhir 2010 kerana mahu menumpukan sepenuh masa kepada tugas parti.Beliau yang dilahirkan di Kampung Serom 3, Muar Johor ini merupakan anak sulung daripada lima orang adik beradik.
Bapanya, Sudirman Suratman merupakan bekas ketua peserta Felcra dan juga pengerusi koperasi Felcra Sekijang manakala ibunya Mukmini Yahya juga merupakan peneroka Felcra.Beliau yang mesra di kalangan penduduk setempat dengan panggilan Cikgu Mala, mendirikan rumah tangga dengan Makrof Abd Mutalib dan mempunyai tiga orang anak.
Normala mula bergiat aktif dalam PAS selepas tamat pengajian di maktab pada tahun 1997.Pada tahun 2000 beliau dilantik sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Labis. Selain Ketua Muslimat Johor, beliau juga merupakan Exco Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat.
Saya percaya dalam urusan nak mentadbir dunia ini, tidak kira laki-laki mahupun perempuan, masing-masing ada peranannya, Allah SWT telah berfirman, 
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan sebahagian daripada mereka adalah penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah yang mungkar, mendirikan sholat, menunaikan zakat & ta’at kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah: 71)
maka secara jelas disebut yang laki-laki dan perempuan itu harus berganding bahu. Banyak lagi ayat-ayat alquran yang disebut secara umum mengenai urusan-urusan kepimpinan, mahupun pengurusan, dari itu saya berpendapat, sekiranya calon yang dinaikkan itu layak dari sudut kompetensi dan jugak berkredibiliti, kenapa tidak mereka ini diberi peluang untuk memberi bakti kepada ummah.
Tidak ada beza antara laki-laki mahupun perempuan, yang membezakan kita hanyalah Taqwa, jadi kenapa harus wanita hari ini merasa rendah diri, tidak mampu ke depan atau segala alasan yang menjatuhkan diri kita? selagimana, kita faham, apa yang diperjuangkan, tidak ada sebarang pelanggaran dasar syariat maka, selagi itu majulah ke depan.
Saya berpendapat, kita sedar situasi hari ini yang kita kekurangan figure-figure wanita, namun, sebilangan daripada wanita (termasuk saya) masih ragu-ragu dan takut-takut untuk melangkah setapak ke depan. 

Sejarah Tokoh wanita khususnya yang bertudung jarang diketengahkan, calon PAS satu ketika dahulu, Khadijah Sidek yang diletakkan di Parlimen Dungun Terengganu menang bergaya dalam perlawanan 3 penjuru, beliau mengalahkan Adib Omar dan juga Wan Salleh dengan majoriti 2ribu lebih. 
Justeru saya berpandangan adalah tidak mustahil untuk cikgu Mala kembali mengulangi kejayaan yang lalu, asalkan PETUGAS-PETUGAS PARTI SANGGUP BEKERJA DENGAN LEBIH KERAS. Dan semua itu diiringi dengan Doa dan Tawakkal kepada Allah SWT. 
Calon merupakan kekuatan kepada pertandingan ini, namun kesungguhan dan kerja keras daripada penyokong dan pendokong merupakan elemen penting yang harus di ambil perhatian.
UMMAH HARI INI MERINDUI MUSLIMAH YANG SUDI BERJUANG MEMPERTAHANKAN ISLAM. Maka, saya merasakan secebis kebanggaan pada bintang yang baru bersinar dalam galaksi dunia islam.. Ayuh, bangun dan berikan sokongan pada muslimah ini.. Beliau mempertaruhkan kehidupan untuk Islam, maka apa yang boleh kita lakukan? sokonglah beliau dengan tenaga dan juga doa.. 
Cikgu Mala, kami bersama anda. Teruskan perjuangan, moga redha Allah bersamamu.

Nice To Have a Click (^_^)

jom klik

Kembara Mukmin

Name: Nazirah Nur Mukmin

Previous school :
--> maktab mahmud
--> centre for foundation studies IIUM
--> Now i'm final year student in bachelor of arabic

Experience :
--> co chairperson MTKN GAMIS 09/10
--> EXCO Arabic Students Society IIUM Gombak 08/09
--> vice president Arabic Students Society MCIIUM 06/07
--> Pengerusi Sinergi Gabungan Mahasiswi SIGMA GAMIS

Email dan ym : raisah_muslimat@yahoo.com

The Intelectual

Click to view my Personality Profile page

Cuba Klik

Tetamu Mukmin

Sembang2 Mukmin


ShoutMix chat widget

Komuniti Mukmin

Tetamu Mukmin

Sahabat Mukmin

klik2

Lets Read

Lets Read
Hidayah karya Tuan Guru Nik Aziz

Turki Negara Dua Wajah - Dr Abdullah Azam

Sejarah & Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden - ust Riduan Mohamad Nor

Things Fall Apart -Chinua Achebe "paling mahal ni (^_~)"

enjoy with keroppi

Loading...